“….Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar[1195]. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami…”
~as sajadah : 24~
[1195]. Yang dimaksud dengan sabar ialah sabar dalam menegakkan kebenaran.
Aku punya impian menjadi seorang pemimpin. Pemimpin kepada sebuah Negara yang dinamakan Malaysia. Malaysia? Ya… Malaysia. Aku impikan Malaysia menjadi sebuah negara Islam yakni Daulah Islamiyyah yang akhirnya akan membentuk khilafah Islamiyyah. Boleh atau tidak aku laksanakan? Tidak mustahil untuk dilaksanakan cuma ianya memerlukan satu usaha yang gigih bertunjangkan keimanan dari seluruh rakyat Malaysia yang inginkan sebuah negara Islam terbina.
Perkara utama yang akan aku laksanakan tatkala Malaysia jatuh ke tangan aku ialah, aku akan cuba ubah ekonomi Malaysia berteraskan ekonomi Islam. Kenapa aku perlu mulakan langkah aku dengan ekonomi? Ekonomi merupakan aspek penting bagi sesebuah negara. Aku mahu memastikan ekonomi Malaysia halal dari pelbagai aspek. Sumber pendapatannya dari sumber yang halal. Ini yang perlu dititikberatkan.
Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.
~al baqarah : 168~
Sumber yang halal teramatlah penting. Jika kita makan dari sesuatu yang haram, maka rosak binasalah diri kita. Peribadi kita menjadi peribadi yang terkeji. Apa yang membuatkan aku memilih ekonomi sebagai langkah utama? Sumber ekonomi inilah mengeluarkan hasil dan setiap rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor kerajaan sudah pasti akan memperoleh wang dari pihak kerajaan. Satu persoalan… adakah kita tahu hasil gaji kita dari sumber yang halal?
Bukankah di Malaysia juga terdapat tempat perjudian yang terbesar iaitu di Sunway Lagoon? Dan tidak mustahil duitnya disalurkan ke dalam ekonomi Malaysia. Argh… bukan tidak mustahil, memang sudah pasti ku rasakan. Malaysia juga sudah pasti terdapat adegan rasuahnya… jadi, adakah gaji kita suci dan halal dari segala kekotoran dan kejahatan duniawi ini?
Apabila ekonomi Islam diserap masuk, semua yang haram ditolak tepi. Apa yang halal dibawa masuk. Lantas, kita akan mendapat hasil dari sumber yang halal. Kita akan memberi anak-anak kita makan dari sumber yang halal. Jika mereka mendapat makanan dari sumber yang halal, insyaallah peribadi mereka peribadi yang terpuji kerana seluruh isi badan mereka tidak dipenuhi benda yang haram.
Perkara kedua yang akan aku laksanakan ialah aku akan menyemak semula setiap program yang dilakukan di dalam negara. Ya, negara Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, dan sudah pasti akan ada sambutan tertentu. Cuma aku perlu menyediakan kontrak atau syarat-syarat tertentu jika mereka ingin melakukan program-program tersebut. Syarat utama ialah menjaga tatasusila dan menghormati kaum lain.
Program-program yang tidak sepatutnya, seperti konsert artis dari luar negara juga harus aku titikberatkan, mungkin aku tidak akan membenarkan terus kerana ia perosak budaya Melayu di negara ini. Melayu bahkan Islam sangat menjaga tatasusila. Islam tidak mengajar umatnya untuk terkinja-kinja seperti binatang dan asyik dengan arus kemodenan. Kita boleh selaras dengan kemodenan cumanya prinsip dan pegangan kita masih terjaga.
Kenapa aku perlu mengemas kini semua ini? Aku kecewa dengan anak remaja Malaysia hari ini. Tambah mengecewakan dengan anak bangsa aku sendiri yakni anak melayu bahkan seorang Islam yang sudah hilang identitinya. Malunya sudah tidak ada. Tahun 2010 paling mengecewakan apabila kes pembuangan bayi begitu berleluasa. Kes ini banyak berlaku sekitar bulan 7, 8, 9 dan 10. Usia kandungan mengambil masa 9 bulan. Jadi, mungkin mereka membuat hubungan pada bulan 1. Apa yang ada pada bulan 1? Ha… tidak lain tidak bukan, sambutan tahun baru!
Aku tidak rela anak melayu tercalar identitinya. Kenapa boleh jadi begini? Adakah salah ibu bapa? Guru-guru? Entah lah… aku rasa sudah berpuluh-puluh program keagamaan dianjurkan, namun situasinya tetap sama. Kenapa? Hati mereka sudah tertutup kerana dipenuhi dengan tompok-tompok hitam penuh noda dan dosa.
Pemimpin harus berubah. Jika pemimpin sendiri membenarkan anasir-anasir jahat masuk ke dalam Malaysia, sudah pasti anasir-anasir tersebut akan meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak kita. Yahudi begitu bijak. Berpuluh-puluh tahun yang dahulu sudah mereka rancang srategi untuk merosakkan anak-anak Islam. Mereka tidak akan menyerang orang Islam secara berdepan apatah lagi untuk merosakkan baitullah. Kenapa? Jika mereka membuat demikian sudah pasti akan berlaku intifadhah yakni kebangkitan yang terbesar di dunia kerana mereka ingin merosakkan Islam. Jadi mereka takut akan kebangkitan umat Islam.
Mereka tidak akan serang secara berdepan, tetapi mereka menyerang mental dan jiwa orang Islam. Dengan apa? Muzik… hiburan, makanan, fesyen dan sebagainya. Lihatlah hiburan hari ini. Adakah ia berlandaskan Islam? Anak-anak kita asyik mendengar lagu hingga mereka terleka, terbuai di dalam bayangan sendiri. Makanan sekarang ini tidak dijamin halalnya. Orang Islam sendiri begitu enak mengunyah makanan Yahudi Laknatullah. KFC, Mc Donald merupakan destinasi pilihan untuk mengenyangkan perut. Aduh… sedangkan mereka tidak sedar, mereka sudah membunuh umat Islam di Palestina… Allah….
Aku terkedu melihat umat Islam hari ini mengenakan fesyen pakaian. Langsung tidak menunjukkan ciri-ciri Islam. Tudung tersarung di kepala namun tudungnya mencalarkan kredibiliti Islam. Tidak menutupi dada malah jarang membuatkan mereka seakan-akan tidak memakai apa-apa. Dalam bab Murunah, kita boleh berfesyen namun haruslah tidak melanggar syarak. Lihatlah apa yang dibuat oleh yahudi, membuatkan wanita-wanita Islam menjadi seperti wanita kafir. Nauzubillah….
Seterusnya, apa yang bakal akan aku lakukan? Aku akan memastikan, artis-artis di dalam industri muzik mahupun lakonan akan menjaga tatasusila mereka dari segi pakaian, pergaulan dan sebagainya. Kenapa? Rakyat Malaysia suka mengikuti apa yang dilakukan oleh golongan artis. Mereka begitu taksub dengan artis hingga menjadikan mereka idola lantas mengetepikan peribadi baginda Rasulullah yang patut mereka contohi. Apa yang merunsingkan aku ialah, peribadi artis di Malaysia terlalulah buruk dan jelek untuk diikuti. Lihat sahajalah pergaulan artis kita. Berpeluk sana-sini tanpa segan silu. Bukankah Melayu itu penuh dengan adab dan pantang larangnya begitu juga Islam. Islam tidak ajar semua ini.
Sakit mata ini memandang pakaian yang dipakai oleh artis kita. Aku rasakan lebih baik mereka tidak memakai apa-apa. Bukan aku hendak mengata cuma aku rasa pelik. Selesakah mereka memakai pakaian tersebut? Berani dan tidak ada rasa malu langsung. Allah… Maafkan mereka Ya Allah, mungkin mereka tidak sedar seluruh rakyat Malaysia memerhatikan peribadi mereka dan kami begitu jelek untuk memandangnya malah kami terpaksa mengata kepada mereka. Kami sudah buntu dan tidak tahu berbuat apa-apa kerana pemimpin kami sendiri tidak mengambil kisah dengan apa yang terjadi. Allah….
Aku tahu, aku tidak layak berbicara mengenai ini. Namun, ini hak aku untuk bersuara sebagai seorang umat yang terlalu memikirkan sejauh mana Islam ini akan berada di dalam benak hati kita. Jika kita cintakan Islam sudah pasti kita tidak tergamak melakukan perkara sedemikian. Hina sungguh perilaku mereka kerana tanpa segan silu mereka membuat hubungan terlarang dan amat tercela. Aku yang memandang berasa sungguh malu kerana dia seorang wanita. Wanita dan lelaki Melayu yang sudah pasti Islam. Aku terkedu lantas sedih memikirkan anak-anak Islam kita yang sudah hancur aqidahnya. Ya Allah, Kau sedarkanlah dua insan ini kembali supaya mereka temui sinar keagungan-Mu. Mungkin mereka alpa dan begitu asyik dengan nafsu duniawi, namun mereka tetap hamba-Mu dan mereka adalah ciptaan-Mu, maka Kau lemparkanlah sinar keinsafan di dalam hati mereka sebelum terlambat.
Jika semua ini terlaksana, sudah pasti sebuah baitul muslim akan terbentuk di Malaysia. Apabila baitul muslim dibentuk, maka akan lahirlah generasi-generasi Islam di Malaysia. Kemudian, generasi ini akan bangkit membentuk sebuah kepimpinan yang baru berasaskan Islam bertunjangkan al quran dan as sunnah. Akhirnya terbentuklah sebuah negara Islam yang bakal melestari sebuah khilafah Islamiyyah. Allah…aku harap sangat saat itu akan tiba jua. Cuma cepat dan lambat sahaja. Aku akan terus sabar menunggu. Namun, aku tidak akan hanya menunggu, gerak kerja harus dijalankan. Aku harus siap siagakan diri aku membantu pimpinan mewujudkan suasana Islam di Malaysia. Adakah kalian ingin bersamaku melestari sebuah daulah Islamiyyah di negara kita ini?
“..Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)..”
~an nisaa : 34~
Aku sebagai pemimpin? Maaf, ini hanya impianku dan juga mungkin impian semua orang. Aku wanita… jadi, mana bisa aku menerajui kepimpinan kerana pemimpin harus dipegang oleh golongan syabab harapan agama. Aku masih tercari-cari, adakah akan muncul syabab harapan agama untuk melestari harapan murni ini? Aku gusar mengenangkan syabab harapan agama yang begitu asyik terbuai dengan arus duniawi. Ke mana menghilang syabab acuan Madrasah Nabi? Seorang syabab yang begitu mencintai syahid dan ingin menyambung perjuangan suci Nabi.
Aina syabab? Aina rijalul dakwah? Aku menanti dan masih menanti akan munculnya lelaki pilihan Allah yang akan menerajui tampuk kepimpinan Islam di negara kita. Aku menyeru kepada lelaki di luar sana, janganlah kalian alpa dan leka, sedarlah kalian, andai aku diizinkan Allah, sudah pasti aku akan turun padang menyedarkan syabab harapan agama sekalian. Kalian bukan sahaja harapanku, malah harapan ummah. Harapan Islam. Sedarlah kalian… hanya ini yang mampu aku katakan melalui mata hatiku lantas aku zahirkan dengan mata penaku di blog serikandiumar ini.
Ya Allah….bukalah mata hati syabab sekalian untuk tergerak hati membaca luahan hati serikandiumar ini yang amat mengharapkan syabab harapan agama muncul dan kembali ke alam nyata. Wahai syababku, aku menyeru kalian supaya mengikhlaskan kalian di dalam perjuangan suci ini. Tahu kenapa berlakunya perpecahan? Kerana kita tidak ikhlas dalam berjuang. Cuba kita renungi kisah Khalid al-Walid yang tidak kisah dirinya menjadi tentera biasa setelah dilucutkan jawatannya oleh Saidina Umar al-Khattab. Kenapa? Kerana dia berjuang kerana Allah bukan kerana jawatan semata-mata.
Inilah harapanku. Aku tidak mampu menjadi pemimpin. Cukuplah aku menjadi akhawat sayap kiri perjuangan syabab acuan Madrasah Rasul. Apa yang ditulis pada malam ini adalah luahan hati serikandi yang terlalu mencintai syahid. Aku mengharapkan seluruh sahabat seaqidahku sedar akan hakikat ini. Hakikat perjuangan kita bersama. Tilik kembali hati kita. Adakah kita ikhlas atau kita mengharapkan balasan dalam perjuangan… Selamat berjuang rakan jihadku!
Tinta serikandi,
Serikandiumar93,
10:48 pm
2 comments:
insyallah akan lahir syabab2 yang ustazah impikan...
Subhanallah .. Amin Ya Allah .. moga kelak akan lahir seorang insan yang mempunyai niat yang sama macam enti .. agar negara kita menjadi negara Islam yang aman .. =)
Post a Comment