Pages

Saturday, January 15, 2011

Soal Jawab: Kaedah 'plea bargaining' tak jejas proses keadilan


Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin
Pendekatan wajar dilaksana di Malaysia kerana terbukti berjaya, diamalkan di AS dan India 

BARU-BARU ini, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mengumumkan kaedah ‘plea bargaining’ atau rundingan bagi pengakuan bersalah untuk kurangkan pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh sesuatu kesalahan jenayah akan dilaksanakan di mahkamah Malaysia tidak lama lagi, namun masih ramai tidak tahu apa sebenarnya kaedah itu serta natijahnya. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH bertemu bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salehuddin Saidin dan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan untuk mengulas perkembangan terbaru ini.

PADA pendapat Datuk, apakah yang mendorong kaedah ini dilaksanakan secara rasmi di negara kita.

Kaedah ini sebenarnya bukan baru di Malaysia, cuma selama ini ia tidak dibuat secara rasmi dan tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan pendakwa, peguam dan mahkamah berbincang mengenai pertuduhan dan hukuman terhadap tertuduh. Bererti sebelum seseorang kena tuduh di mahkamah, rundingan terhadap pertuduhan dan hukuman terhadapnya dibincangkan terlebih dulu. Pendekatan ini sudah ada dan dipraktikkan dalam kes jenayah, namun tidak termaktub dalam Kanun Acara Jenayah (CPC) atau undang-undang lain.

Saya berpendapat pindaan CPC dengan memasukkan kaedah ini langkah bagus kerana dapat mengurangkan tempoh perbicaraan. Kaedah ini sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) dan apa yang mahu dilaksanakan di negara ini, saya difahamkan kerajaan mengambil model dilaksanakan di India. Kaedah ini juga difahamkan begitu berjaya di Amerika Syarikat dan sering dijadikan contoh pada seminar berkaitannya.

Apabila kita memasukkan rundingan bagi pengakuan bersalah dalam undang-undang dan diisytihar sebagai rasmi maka kes perbicaraan di mahkamah dapat dikurangkan. Proses perbicaraan mengambil masa kerana ia membabitkan saksi, bahan bukti, mahkamah, tertuduh, pendakwa raya dan peguam. Jika ada kaedah ini, kes jenayah yang boleh dipertimbangkan untuk dikurangkan hukuman dan tuduhan boleh dilaksanakan.
Contohnya, dalam kes berkaitan dadah, seseorang itu ditangkap kerana mengedar, namun kerana kekurangan bukti mungkin tertuduh tadi boleh dituduh memiliki dadah berbanding tuduhan mengedar yang menetapkan hukuman mandatori gantung. Jadi di sini, kita boleh nampak bagaimana proses ‘plea bargaining’ ini berlaku.

Mengambil contoh ini bermakna ‘plea bargaining’ dapat mengurangkan kes tertunggak dan melicinkan proses pentadbiran keadilan, manakala tertuduh dapat dibicara dengan cepat serta tidak menyusahkan pihak berkaitan seperti saksi dan peguam. Kes yang perlukan perhatian dan mahu dipercepatkan juga dapat dipercepatkan lagi melalui kaedah ini. Juga boleh menyelesai dan mempercepatkan pelupusan harta dirampas kerana sesetengah kes menyebabkan harta dibekukan dan mereka yang terbabit termasuk ahli keluarga atau syarikat yang berkenaan akan dapat meneruskan kegiatan atau kehidupan masing-masing. Ia juga dapat mengelakkan penganiayaan terhadap tertuduh yang ditahan reman lebih lama daripada tempoh hukuman.

Bagaimana pula dengan masa pelaksanaannya, adakah sepatutnya kaedah ini sudah lama diamalkan. 
Pada saya, kaedah ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan berikutan banyak kes tertunggak. Maka Malaysia agak ketinggalan dalam aspek ini, namun ia perlu dilakukan sekarang juga daripada tidak dilaksanakan langsung. Kaedah ini sesuai untuk negara kita dan perlu dilaksanakan segera, namun persoalan kini mengapa perlu ‘plea bargaining’ ditawar dalam masa 30 hari selepas seseorang itu didakwa. Pada saya, sepatutnya tiada tempoh masa ditetapkan kerana banyak aspek perlu diberikan perhatian termasuk bukti dari Jabatan Kimia, makmal, rekod hospital dan sebagainya.

Satu lagi persoalan ialah bagaimana dengan kes sebelum pindaan dibuat, adakah ia turut terpakai dan boleh menggunakan ‘plea bargaining’ ini, mungkin kerajaan boleh menjelaskannya.

Apa yang pasti, akan wujud pro dan kontra kaedah ini kepada tertuduh. 
Kaedah ini membabitkan tiga pihak, iaitu orang kena tuduh, pendakwaan dan mahkamah. Jadi sebelum sesuatu proses rundingan itu berlaku ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Perlu lihat apa isu yang terbabit, keterangan yang ada, adakah pihak pembelaan cukup keterangan untuk membela atau ada alibi, apakah dengan cara mengurangkan tuduhan dan hukuman akan membawa keadilan kepada mangsa. Itu semua diambil kira dalam proses tawar menawar ini. Mulanya dua pihak iaitu yang mendakwa dan yang dituduh perlu berbincang berdasarkan faktor tadi, apabila bersetuju dengan tuduhan atau hukuman maka ia dikemukakan kepada mahkamah. Jadi mahkamah akan tentukan hukuman paling sesuai hasil kaedah ini dan mengambil kira faktor dikemukakan termasuk keadilan kepada mangsa dan orang kena tuduh.

Akhirnya, mahkamah kena lihat sama ada hukuman dijatuhkan nanti bukan saja bagi keadilan dan kebaikan kepada tertuduh, tetapi kepada mangsa serta masyarakat keseluruhannya. Dalam pindaan ini, saya lihat seseorang yang tidak mempunyai peguam juga harus diambil kira, iaitu tertuduh diminta melantik peguam atau mahkamah melantik peguam untuknya, malah mahkamah juga perlu menentukan orang dituduh itu bersetuju ‘plea bargaining’ dilaksanakan dalam kesnya. Konsep ini menetapkan orang kena tuduh bersetuju dengan proses terbabit dan peguam bertindak menasihatnya, bukannya memaksa selain boleh memberitahu mengenai ‘plea bargaining’ kepada anak guamnya.

Kebiasaannya, pengakuan salah sering diberikan pengurangan hukuman. Apabila tertuduh mengaku salah, maka ia akan menjimatkan masa mahkamah dan saksi serta tanda kekesalan. Dalam konsep ‘plea bargaining’, secara tidak langsung tertuduh akan mengaku kesalahannya dan layak mendapat hukuman setimpal pengakuannya itu. Saya percaya, proses rundingan ini menyebabkan mahkamah akan pertimbangkan hukuman sesuai dan membolehkan tertuduh kembali kepada masyarakat dan diterima baik.

Ada yang kata kaedah ini boleh galakkan orang ramai lakukan jenayah atau ia sebenarnya dapat mendidik supaya tidak lakukan jenayah. 
Saya melihat apabila seseorang disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman, ia sudah cukup sebagai pengajaran kepada masyarakat. Ramai yang berkata, tempoh yang lama dalam penjara boleh menyedarkan seseorang, namun kita tidak boleh berpandangan begitu... mungkin seseorang itu akan jadi lebih jahat atau mengulangi kesilapan atau kesalahan jenayah jika dia masih tidak rasa bersalah.
Bagi saya, apabila seseorang itu dituduh ia sesuatu yang amat berat untuk dihadapi dan apabila mengaku salah, ia satu keputusan yang besar. Apa saja hukuman hasil pengakuan itu bagi saya itu satu pengajaran kepada tertuduh.
Jadi, pada saya ‘plea bargaining’ tidak akan menjejaskan proses keadilan kepada mangsa kes jenayah atau masyarakat keseluruhannya. Tempoh masa kes itu dapat diselesaikan membawa faedah kepada mahkamah, tertuduh, mangsa, saksi dan masyarakat juga.

Bagaimana pula kesannya kepada profesion guaman, terutama dari segi kewangan apabila khidmat mereka mungkin kurang digunakan kerana tertuduh terus membuat pengakuan bersalah. 
Saya tak nafikan itu, kerana kaedah ini akan menyaksikan banyak kes tidak dibawa ke mahkamah. Proses ‘plea bargaining’ menyebabkan banyak kes dapat diselesaikan, sekali gus kes akan berkurangan di mahkamah. Ia pasti menjejaskan pendapatan peguam, lagipun pembayaran kes melalui ‘plea bargaining’ akan menyebabkan kos guaman berkurangan berbanding kes yang dibawa ke mahkamah. Namun, jika kita melihat kepada penyelesaian kes yang lebih cepat, ada kemungkinan jumlah kes akan bertambah dan dapat menutup jumlah kekurangan pendapatan tadi. 

No comments: