Pages

Sunday, February 13, 2011

TAMRIN NUQABA (PART 2)


Selesai sudah peneranganku mengenai 10 musawafat tarbiyah. Aku masuk pula ke peringkat ke-2, yakni membincangkan mengenai marhalah dakwah. Apa itu marhalah dakwah? Marhalah dakwah adalah peringkat-peringkat dakwah yang perlu kita lalui sebelum menggapai matlamat kita.

Marhalah dakwah:


1.    Fardhul Muslim


Fardul Muslim adalah sangat penting. Kita perlukan amalkan Islam dalam diri kita dahulu. Mantapkan diri kita dengan mengikuti setiap 10 musawafat tarbiyah itu. Tidak boleh kurang dan jangan terlalu berlebihan. Kita cuba laksanakan supaya kita dapat pimpin diri kita menjadi seorang muslim yang betul-betul mukmin.


2.    Baitul Muslim


Setelah kita dapat membentuk diri kita menjadi seorang muslim yang mukmin, seterusnya apabila kita mendirikan rumah tangga, kita dapat membina sebuah baitul muslim yang diredhai oleh Allah. Apabila kita dapat menghasilkan sebuah baitul muslim, kita dapat melahirkan generasi-generasi Islam yang soleh dan solehah. Kita dapat membentuk sebuah keluarga yang mengamalkan Islam yang sebenarnya dan dapat menjadi role model kepada keluarga lain.


3.    Mujtamak Muslim


Apabila kita sudah dapat membentuk sebuah baitul muslim, akan terwujudlah mujtamak muslim yakni masyarakat muslim di kawasan persekitaran kita. Masyarakat kita sentiasa berada di bawah lembayung rahmat dan maksiat itu dapat dihapuskan sama sekali kerana amalan keislaman sudah sebati dalam diri kita dan masyarakat setempat.


4.    Daulah Islamiyyah


Kita melestari baitul dakwah/baitul muslim demi sebuah daulah dan khilafah. Kerana apa? Kita sudah merenung jauh ketika mana kita mendirikan sebuah baitul muslim. Dalam hati kita sudah terpahat ingin mewujudkan sebuah daulah Islamiyyah di negara kita sendiri, dan negara kita adalah Malaysia.
Jika kita sudah dapat melalui peringkat-peringkat dakwah ini, hingga mampu membentuk sebuah masyarakat muslim, kita akan dapat membentuk sebuah negara islam di Malaysia. Adakah ianya mustahil? Tidak mustahil..cumanya sukar sekali. Ia memerlukan kesungguhan semua pihak untuk kita wujudkan sebuah negara Islam.
          
Aku berbangga dengan Mesir kerana sudah dapat membebaskan negara mereka dan mereka berani membangkitkan rasa hati yang sekian lama mereka pendam. Kesungguhan dan ketabahan mereka dibalas dengan kemenangan Islam oleh Allah s.w.t. Tidak mustahil, andai kata Ikhwanul Muslimin naik, sempadan Rafah akan dibuka untuk semua pejuang seluruh dunia ke Palestine dan mungkin Negara Israel hanya akan tinggal kenangan dalam masa setahun. Adakah anda sudah bersedia? Perkara ini tidak mustahil kerana perkara ini sudah berlaku ketika Perang Sinai. Sayangnya, Amerika campur tangan dan mengarahkan penangkapan terhadap tentera Ikhwanul Muslimin yang turun ke Palestine.


5.    Khilafah Islamiyyah


Jika sebuah negara Islam terbentuk, Insyaallah kepimpinan Islam akan terlaksana. Kita akan dapat 
mewujudkan sebuah khilafah Islamiyyah. Allahuakbar! Sebuah khilafah yang dipenuhi oleh pemuda-pemuda yang dipenuhi ruhiyyah dan fikrah islamiyyah. Pemuda-pemuda yang dirindui Nabi..Allah…
*****
Inilah marhalah dakwah yang disusun oleh Asshahid Imam Hassan Al Banna. Kita perlu laksanakan perkara dakwah ini secara berperingkat-peringkat supaya kita tidak tersalah lorong dan punya matlamat. Kita punya visi dan misi yang sama cumanya mungkin cara perlaksanaan kita berbeza. Tetapi, apa yang penting kita satu fikrah, satu amal!
          
Setelah aku merasakan mereka sudah faham apa yang aku bicarakan. Aku sudah bersiap sedia untuk membicarakan mengenai satu lagi tajuk yang agak berat ku rasakan. Rukun bai’ah!
          
Apa itu rukun bai’ah? Rukun bai’ah disusun oleh Asshahid Imam Hassan Al Banna. Bai’ah adalah perjanjian antara kita dengan jemaah yang kita ikuti. Sebelum memilih ahli jemaah, kita akan adakan pengkaderan untuk memilih ahli jemaah kita. Jadi, tujuan Hassan Al Banna menyusun rukun bai’ah ini dengan bertujuan memudahkan cara kita memilih ahli baru. Setiap ahli baru yang ingin dikaderkan mestilah memiliki kesemua perkara yang tercatat dalam rukun bai’ah ini.

RUKUN BAI’AH :
1. Al-FAHM (Faham)
Iaitu faham dan seterusnya meyakini bahawa fikrah kita adalah Fikrah Islamiah yang sebenar. Kefahaman adalah kunci kepada keselamatan dan kejayaan dakwah kita kerana tidak mungkin Islam itu diperjuangkan oleh mereka yang tidak memahami Islam itu sendiri. Pepatah Arab pernah menyebut (ﻪﻳﻁﻌﻳﻻ ﺀﻲﺷﻟﺍﺩﻗﺎﻓ) yang bermaksud “orang yang tidak memiliki sesuatu itu tidak mungkin dapat memberinya”.
Kefahaman yang dikendaki di dalam Rukun Bai’ah ini meliputi pecahannya yang dikenali sebagai al-Usool al-Isyreen (Usul 20) oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.
2. AL-IKHLAS (Ikhlas)
Keikhlasan di sini bermaksud petugas Amal Islami mestilah meletakkan qasad atau niat pada perkataan dan perbuatannya secara menyeluruh kerana Allah, tanpa mempunyai apa-apa maksud terhadap keinginan harta, kemegahan atau gelaran. Dengan demikian itu jadilah ia Jundi (tentera) Fikrah dan Aqidah, bukannya jundi kemaslahatan.
3. AL-AMAL (Amal)
Petugas hendaklah bekerja dan melaksanakan kefahamannya serta merealisasikannya sebaik mungkin. Amal di sini meliputi pengelokan diri, pembentukan rumahtangga Muslim, pendidikan masyarakat, pembebasan tanah air, pengislahan pemerintahan dan mengembalikan kedaulatan Islam di peringkat antarabangsa sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu keseluruhannya bagi Allah (al-Anfaal: 39)
4. AL-JIHAD (Jihad)
Iaitu jihad yang kewajipannya berlangsung sehingga ke hari Kiamat. Ia merujuk kepada Hadith yang bermaksud “Barangsiapa mati dan tidak pernah berperang jihad serta tidak pernah berniat untuk berperang jihad, maka matinya adalah mati jahiliah”.
5. AT-TADHIYYAH (Pengorbanan)
Iaitu pengorbanan. Ia meliputi pengorbanan diri, harta, masa, hayat dan segala-galanya di jalan matlamat.
6. AT-THA’AH (Taat)
Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah ketaatan di dalam mematuhi perintah pimpinan dan melaksanakannya sama ada di dalam keadaan susah atau senang. Ketaatan ini dipagari oleh batas-batas perkara yang duduk di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasul.
7. AT-TSABAT (Tetap pendirian)
Tsabat yang dikehendaki di sini adalah berkekalannya petugas Amal Islami bekerja dan berjihad ke arah merealisasikan matlamatnya tanpa diganggu gugat oleh panjangnya masa dan berleretan tempoh sehinggalah ia mati bertemu Allah. Dengan demikian itu ia berhasil memperolehi salah satu daripada dua kebaikan iaitu tercapainya kemenangan atau syahid.
8. AT-TAJARRUD (Tegas)
At-Tajarrud bermaksud seorang Petugas Amal Islami itu menyempurnakan fikrahnya tanpa terpengaruh, terganggu atau terbawa-bawa dengan apa-apa campur aduk anasir yang berada di luar fikrahnya sama ada anasir itu berbentuk pengaruh idea, prinsip mahu pun individu. Menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati bahawa fikrah kita adalah fikrah tertinggi, mulia dan sempurna.
9. AL-UKHUWWAH (Ukhwah)
Apa yang dikehendaki daripada Ukhuwwah di sini adalah ikatan hati dan jiwa sesama petugas Amal Islami dengan ikatan Aqidah. Sesungguhnya ikatan Aqidah adalah sekukuh-kukuh ikatan. Ikatan persaudaraan ini teramatlah penting supaya gerak kerja kita bukan secara amal fardiah semata-mata tetapi secara amal Jamie. Kita tidak boleh bergerak berseorang, kita memerlukan sebuah pasukan dan saff kepimpinan yang kukuh untuk kita telusuri perjuangan dakwah ini.
10. ATS-TSIQAH (Kepercayaan)
Kepercayaan yang dimaksudkan di sini adalah tenteramnya hati seorang Jundi itu kepada pemimpinnya, kemampuan dan keikhlasan pemimpin itu. Tenteram hati itu begitu mendalam dan ia tercerna dari kasih sayang, penghargaan, rasa hormat dan taat.
Sebagai seorang jundiyah at-thoah, kita perlu meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap pimpinan kita sekalipun kita tidak menyukainya. Kita perlu sentiasa ber ‘husnuzon’ supaya gerak kerja kita berjalan dengan lancar tanpa ada perasaan hasad dengki di dalam diri kita. Pemimpin kita sudah dipilih bukan atas dasar nafsu semata-mata, tetapi dengan istikharah dan petunjuk dari Allah, membuktikan dialah pilihan terbaik yang dihadirkan oleh Allah kepada kita.
          
Rukun Bai’ah ini haruslah sebati dalam diri kita kerana kita adalah seorang daie. Jadi, sama-sama menghafalnya … ^___^ tak susah, senang sahaja. Buat formula… 5 yang pertama, F,I,A,J,7… 5 yang kedua T,T,T,U,T. Senangkan?
          Selesai sudah peneranganku… Moga-moga apa yang aku bincangkan meresap masuk jauh ke dalam hati kita supaya kita koreksi fikrah kita kembali. Selamat beramal! Solat Asar sudah berkumandang.. Alhamdulillah. Selesai!
p/s: sambungannya akan kunjung tiba… kalau ada salah dan silap, harap ditegur…
Catatan naqibah yang hina,
serikandiumar93
7:49 pm
13 Februari 2011

No comments: