Pages

Wednesday, January 30, 2013

IBRAH DARI BUKU USTAZ ZAHARUDDIN [2]


PROSES PPERLU PELAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibu bapa yang sudah menyediakan alim di bidang agama, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat maklumat yang diberi oleh seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia. Mereka menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa lagi yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.



Demikian, proses yang diperlukan jika kita mahu melahirkan seorang ulamak bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulamak sebagai mentor, yang sentiasa boleh memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantaun agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu dalam pengajian, mereka tersalah pilih guru dan akhirnya menjadi sesorang yang ekstrem yang bersifat pemcecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui, agak banyak juga perpecahan aliran pemikiran ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks al-Quran dan sunnah di Malaysia. Sehingga 'tergelar' begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing berasa merekalah yang 'terbenar' dan berada di jalan yang sahih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran Salafi jalur keras [digelar Wahabi oleh pembenci mereka], salafi sederhana, salafi lembut, khalafi keras [digelar Ahbash oleh pembenci mereka], sederhana dan lembut. Demikian juga sufi tarekat, aliran hadis, Zahiri moden, Syiah, tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU DAN TEMPAT

Selain terpecahnya aliran di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan syeikh [guru] masing-masing. Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam. Di tambah pula dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, malas berfikir panjang dan malas menilai secara penyelidikan. Ini menyebabkan keadaandi atas bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Ini bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali. Ia hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar pandangan tersebut kelihatan jahat.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak. Hanya Allah yang maha mengetahui kesemuanya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara, khususnya dalam hal cabang fiqh dan bidang-bidang agama lain.

Demikianlah Syeikh al-Qardhawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.

BERSAMBUNG..

No comments: