Pages

Tuesday, October 16, 2012

MUSLIMAT PERJUANGAN



"..Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar..."


~al hujurat : 15~

Bagaikan ada angin bayu yang menyapa diri qaniah. Menyentuh hati ini sedikit demi sedikit hingga tersedar dari lamunan yang panjang. Jiwa disapa rasa kesayuan dan keinsafan. Menusuk ke segenap urat nadi. Membuahkan satu semangat baru. Dan tiba-tiba qaniah merasakan semangat 'serikandiumar' itu kembali meresap ke dalam diri.



Allahurabbi. Indahnya tarbiyah yang menyapa diri ini, setelah sekian lama ia membeku dalam diri.  Qaniah seakan memutar masa kembali ke waktu dahulu. Di mana qaniah merelakan hati ini menerima tarbiyah oleh kakak-kakak kesayangan di bumi waqafan maahadi.

Dan kini, perkara itu seakan kembali lagi. Qaniah merelakan aliran tarbiyah itu menusuk ke segenap ruang. Allahurabbi. Qaniah merasa penuh kesyahduan saat tarbiyah itu meresap masuk. Hingga ke satu tahap qaniah menitis air mata. Bertubi soalan ditanya ke dalam diri dan akhirnya qaniah akur dan tunduk dengan ego yang menggunung. Empangan air mata pecah jua bersama desahan nafas penuh keinsafan.

Terima kasih Allah. Terima kasih menghadirkan ruang keinsafan dan kehadiran kepada diri qaniah. Supaya sedar dan berpijak di bumi yang nyata. Qaniah perlu runtuhkan ego yang menggunung. Qaniah perlu sedar, qaniah memerlukan perjuangan ini dan qaniah harus sedar tenaga qaniah diperlukan untuk memperjuangkan agama Allah ini.

Sampai bila qaniah perlu melarikan diri dan hanya duduk membatu di rumah. Tanpa ada satu gerak kerja dakwah yang qaniah lakukan. Ini bukan jiwa qaniah. Seorang qaniah tidak betah duduk diam. Ada saja kerja yang mahu dilakukan untuk Islam. Engkau harus bangkit qaniah. Jangan membeku di tampuk lama.

Buka hatimu untuk perjuangan ini!


*****

Hati diasak rindu. Rindu untuk bergelar muslimat perjuangan. Muslimat yang menginfakkan dirinya untuk perjuangan Islam. Masa, harta dan jiwanya dikorbankan demi perjuangan yang suci ini.

Siapakah muslimat perjuangan?

Muslimat perjuangan bukanlah orang yang biasa-biasa. Jiwanya kental dek ujian. Tabah menghadapi dan mengharungi hidup yang penuh dengan mehnah. Meskipun dicaci, diherdik dan dihina, dia hanya tersenyum dan melangkah penuh bergaya meneruskan perjuangan ini. Keyakinan kepada Allah melebihi segala-galanya membuatkan dia tidak takut melangkah dalam perjuangan ini.

Muslimat perjuangan itu akhlaknya terjaga. Perbatasan akhlak dan muamalatnya bersama kaum Adam amat dijaga rapi. Menunduk pandangan bila perlu, dan bangun melawan hujah di saat dia diperlukan. Meskipun dia tertunduk malu di hadapan lelaki, itu bukan alasan untuk dia membisu tika mendepani segala isu di hadapan orang ramai.

Muslimat perjuangan itu sangat bijak. Pandai membezakan, sewaktu bila pandangannya harus ditundukkan dan sewaktu bila harus dia bermuamalat dengan lelaki dengan penuh terjaga adab tata susilanya.

Dia tidak jumud. Malah , dia muslimat perjuangan yang unggul kerana terbuka apabila perlu dan tertutup di saat dia tidak memerlukan bermuamalat. Hebatnya dia, muslimat perjuangan yang bijak mengawal keadaan dan situasi.

Muslimat perjuangan itu seorang yang sangat menjaga ibadahnya kepada Rabbul Jalil. Dhuhanya terjaga. Qiamullailnya sentiada dilaksanakan. Tiada erti penat dan letih dalam menunaikan ibadah kepada Sang Khaliknya. Di siang hari, dia sibuk dengan gerak kerja Islam, tetapi di malam hari dia sibuk bercinta dengan Penciptanya. Tiada alasan menjadikan keletihan bekerja dan berjuang di siang hari untuk dia abaikan tanggungjawabnya di malam hari, untuk beribadah pada Allah.

Unggulnya dia, sang muslimat perjuangan.

*****

Qaniah tertanya pada diri. Ya Allah, mampukah diri ini menjadi muslimat perjuangan? Terasa kerdil dan hina untuk memikul nama sebagai muslimat perjuangan kerana masih banyak lompong-lompong yang perlu qaniah isi.

Qaniah perlu mula koreksi muamalat qaniah bersama lelaki. Qaniah perlu mula menilik sejauh mana ibadah qaniah kepada Sang Khalik.

Ya Rabb, malu untuk qaniah katakan. Rupanya amat sedikit, masa yang diri ini luangkan untuk berdua-duaan dengan-Mu. Maafkan diri ini, pasti qaniah menebus kembali, lompong-lompong ini pasti qaniah isi kembali. Supaya terus terisi kapal yang qaniah pandu, untuk terus sampai dan di bawa menuju negeri akhirat sana nanti.

 "Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit.... "

~surah at taubah : 38~

Tinggalkanlah dunia ini. Muslimat perjuangan itu meletakkan akhirat sebagai matlamatnya. Segalanya yang dilakukan hanya untuk Allah. Kerana dia tahu, kehidupannya di dunia hanya untuk sementara. Bila-bila masa sahaja, nyawanya akan diambil kembali oleh Sang Khalik. Lantas, dia hanya menjadikan dunia sebagai tempat bermain, untuk dia mengumpul kenikmatan dan kemewahan di alam akhirat nanti.

Allah. Layakkah diri bergelar muslimat perjuangan?

Setelah masih banyak yang perlu ditampal. Qaniah malu untuk menggelarkan diri ini sebagai muslimat perjuangan. Hati masih perlu terus belajar untuk ikhlas dan redha. Bukan mudah untuk bergelar muslimat perjuangan itu, tetapi tidak mustahil untuk menerima gelaran itu :')

Usaha yang gigih dan berterusan memohon kepada Allah. Insyaallah, engkau bakal bergelar muslimat perjuangan. Jadikan perjuangan yang suci ini bermatlamatkan Allah. Berubahlah dari negative kepada positive. Kerana, untuk bergelar muslimat perjuangan itu, hatinya perlu suci dari segala sifat mazmumah, dan diganti dengan sifat mahmudah.

Ya Rabb, golongkanlah qaniah dan insan-insan yang membaca ini tergolong dalam kalangan muslimat perjuangan :')

Amin. Amin. Amin.

Note : Mintak maaf semua, doakan qaniah exam esok pagi, Hifz Quran :) Thanks.

Pengemis redha Ilahi,

Qani'ah Mawaddah
-2.05 am-
16 Oktober 2012
Bayt Dar Azzahra

1 comment:

Rifqah said...

akk..mohon share boleh? masih ingat pd saya? rifqah fadlin. sekarang belajar di dq-uia...