Pages

Monday, May 7, 2012

CERPEN : HOPE

"Argghhhh... bodoh!"

Aku yang sedang menonton televisyen terkedu. Terus bangun menuju ke bilik.

"Timaaah mai tarik telefon adik kamu ni.."

Mak bergelut dengan adik. Kenapa? Aku terus cuba merampas telefon di tangannya. Aku tahu kenapa.

"Oiii..janganlah bodoh!"


Mak memegang kedua tangannya. Aku pula cuba merampas telefon bimbitnya.

"Pasaipa yang tak mahu bagi ni?" Aku bersuara tegas.

"Aku lari dari rumah kot...!" Dia cuba mengugut. Jeritan makin jelas kedengaran.

Main kasar. Aku tertolak ke belakang. Kakinya laju menendang perut. Sakit.

Paaaaangggg!

Satu tamparan untuk dia, Jannah. Jannah terduduk bersandar di dinding. Tangan masih kuat mengenggam telefon SAMSUNG yang baru dibelinya. Jelingan tajam dilemparkan.

"Mak tak pernah ajar kamu jadi macam ni Jannah...jaga kamu..apa kamu nak, mak beli.. macam ni kamu balas ya kat mak.. jaga kamu , kalau mak dapat baca apa kamu mesej.. ingat orang tak tau.."

Mak berseloroh. Aku tahu, mak sedih.

"Sudah..sudah la..malu orang dengar nanti..." Abah datang meleraikan keadaan.

Mak terus keluar. Mata aku menyoroti langkah emak. Pasti ada luka di hatinya. Pasti!

*****

Abah terkumat kamit membaca selawat. Tenang abah memandu. Aku hanya memandang. Tapi..dalam hati seorang ayah siapa yang tahu. Abah terus toleh ke kiri, mungkin terasa diperhati. Mata aku dan abah bertaut.

"Kenapa kakak?"

Abah bertanya.

"Hmm..tak da apa-apa.." Aku hanya tersenyum kelat. Aku terus pandang depan.

"Kakak..." 

Spontan aku toleh. Pandang abah.

"Kenapa abah...?"

Tiba-tiba kelajuan kereta diperlahankan. Abah memberhentikan kereta di bahu jalan. Lebuhraya Utara-Selatan sunyi sepi.

"Kakak..abah gagal..." Abah menunduk. Sambil tangan masih memegang stereng kereta.

"Abah...kenapa nii...?" Aku pegang tangan abah. Hari ini aku nampak abah tewas, air mata abah gugur.

"Abah gagal didik anak-anak abah...abah gagal laksanakan amanah abah... tengok apa jadi pada Jannah..."

Aku terus peluk abah. Menepuk lembut bahu abah. Aku bisikkan sesuatu di telinga abah.

"Abah... kakak ada. Jannah pun adik kakak. Kakak akan bantu dia. Kita masih belum tahu, sejauh mana apa yang dia buat. Masih belum terlambat abah..."

Aku turut menangis. Pertama kali seorang abah menangis. Pertama kali Ya Allah...

*****

Bas Transnasional meluncur laju di atas lebuhraya. Liyana di sebelah sudah nyenyak tido. Masih berbaki 3 jam untuk tiba stesen bas Puduraya. Aku dan Liyana ke Kuala Lumpur untuk menyiapkan segala borang dan prosedur untuk ke Jordan. Agak lambat kami menyiapkan segalanya dan kemungkinan kami pergi sebagai pelajar private.

Aku lemparkan pandangan ke luar tingkap. Terasa berat. Satu keluhan kecil aku lepaskan. Bukan soal pelajar private yang menjadi bebanan saat ini. Tapi, ada yang lebih berat untuk aku runsingkan.

Jannah...

"Jannah masuk la sekolah agama.." 

"Tak nak lah kak... Jannah nak duduk sekolah biasa..."

"Kenapa.."

"La..kakak pun dengar kan ustaz yang bagi ceramah tu kata... nak berubah dan jadi baik bukan budak sekolah agama saja.. dengar tuu..ka kakak tidur masa kuliah Subuh tadi...?" Pandai Jannah berdalih.

"Tapi..." 

"Tak da tapi-tapi kakak............" Jannah terus menutup mulut aku. Aku cuit pinggangnya. Kami ketawa bersama. Itulah aku, Fatimah Az-Zahra bersama satu-satunya adik perempuan dalam hidupku, Jannah Al-Mukminah.

Ketawa. Suka duka kami bersama. Biarpun salah, kami sama perbetulkan.

Hari ini tidak lagi... ketawa itu kian terpadam. Yang muncul cuma api dendam dan benci dalam diriku.

"Hoiii...hang tak malu ka Jannah... jadi perempuan murahan macam ni... kakak tak ajar hang jadi macam ni.. tak padan baru sekolah menengah.." Aku tolak bahunya.

"Hang pasai pa kak... kurang ajar sangat mulut hang panggil aku murahan. Hang tu baik sangat ka!" Jannah terus berlalu pergi.

Aku duduk di kerusi. Hatiku bagai disiat-siat. Ya, kenapa mulut aku laju meluncur kata-kata tanpa mengawal emosi yang membara. Arghhh! Aku menghina satu hati yang aku sayang!

Jannah, kakak sayang kamu.

*****

Tepat pukul 5.30 pagi aku sampai di Puduraya. Aku dan Liyana terus menuju ke musolla. Puduraya dah bertukar wajah sekarang. Ini pertama kali aku dan Liyana datang berdua ke Kuala Lumpur. Ini kerja gila. 2 orang budak perempuan, datang dari jauh hanya semata untuk menguruskan prosedur ke Jordan secara persendirian.

Dari Puduraya kami naik LRT ke Wangsa Maju. Kami mahu ke Pusat Penterjemahan Negara. Minggu lepas sudah aku emailkan slip keputusan SPM dan sijil kelahiran. Jadi, hari ini kerjanya mudah, ambil segala terjemahan tersebut dan terus naik LRT untuk ke Putrajaya.

Aku bayang Putrajaya dekat. MasyaAllah..jauh sangat.

Aku..Liyana..berdua di tengah kota. Kuala Lumpur, mercu tanda untuk Malaysia. 

Sungguh, pengalaman yang indah.

"Wehh..lepas ni nak pergi mana..?" Aku bersuara.

"Putrajaya sayang.. kita kena pergi cop sijil ni dekat Kementrian Luar Negeri..."

"Tu diaaa.... tak pernah ana buat benda macam ni sorang-sorang.."

"La...ana bukan ada ka? Jadi dua la..bukan sorang.." Liyana mencuit pinggang aku. Aku ketawa kecil. Betul juga kan. 2 bukan 1.

Liyana, sahabat dunia akhirat. Aku gosok kepalanya lembut sambil tersenyum.

"Pandai sahabat ana sorang ni kan.." 

Liyana menepis tanganku, sambil menjelir lidah. Subhanallah, indahnya erti persahabatan ini. Kenapa tidak bisa untuk aku ukir indah jalinan kasih sayang ini bersama adik tercinta, Jannah Al Mukmimah.

Kenapa Ya Allah..?

"Oiitt..Timah.. dok mengelamun apa.. jom, tengok peta ni.. kita kena kena naik LRT ke Masjid Jamek... kemudian kena ambik LRT ke KL Central.. kemudian... baru kita boleh pergi Putrajaya... faham takk?"

Aku mengangguk hampir 10 kali. Saja main-main.

"Buat lah macam tu..buatlah..tercabut kepala terus baru tauu.." Liyana mencebik.

"Amboi..garang sahabat ana ni..jom-jom..nanti lambat pula sampai kan..?" Aku tersenyum sambil menarik tangan sahabat tercinta masuk ke dalam LRT.

Liyana hanya mengikut. Satu cubitan hinggap di pipi.

Auchhhh! 

Tanda bagus ditunjukkan kepadaku. Aku hanya tersenyum. Love you sahabati!

Dear Jannah, kakak nampak kamu macam kakak nampak Liyana.

Allah...

*****

KL Central terlampau sesak dengan orang. Mungkin di sini juga laluan untuk ke KLIA dan Putrajaya. Ramai juga pramugari transit di sini untuk ke KLIA. Kami ke sayap kanan KL Central, menuju ke kaunter LCCT. RM9 satu tiket. Tidak mahal dan tidak murah. Biasa-biasa saja. Alhamdulillah.

Dari Putrajaya Central, naik bus no 10 ke Kementrian Luar Negeri. Kami perlu sampai ke sana sebelum waktu rehat tengahari, nasib baik hari ini bukan hari Jumaat, kalau tidak lambat lagilah kami perlu tunggu sebab semua orang pergi solat Jumaat.

'Aduhai puteriku sayang..'

Caller ringtones Hijjaz. Ada orang call.

-Abah-

"Assalamualaikum abah..."

"Waalaikummussalam.. macam mana..dah siap?"

"Belum abah..ini kakak nak pergi cop sijil ni..kemudian baru boleh hantar ke kementrian..."

"Ooo...ni.. abah dah call pak long.. nanti abah bagi no kakak dekat dia ya... bagi dia telefon kakak.. nak ambik kat mana.."

"Pak long nak ambik kakak pi pejabat dia ka abah..?"

"Ya..kementerian pengajian tinggi sebelah bangunan dia ja..nanti abah suruh dia call kakak ya..."

"Ok abah..terima kasih..."

Talian dimatikan. Alhamdulillah Allah mudahkan urusan aku.

Selesai saja urusan di Kementerian Luar Negeri, kami berpatah balik ke Putrajaya Central. Berehat di surau sementara menunggu pak long.

Hampir sejam menunggu, pak long datang. Dari kejauhan, di pintu utama sudah nampak satu kereta betul-betul di ruang menunggu. 

Aku buka pintu kereta. Duduk di hadapan. Liyana di belakang.

"Dah selesai..?"

"Sudaah.."

"Macam ni..pak long ada meeting lepas ni.. korang ikut pak long masuk pejabat.. kemudian pergi jalan kaki kat KPT ya.. sebelah tu ja.."

Aku hanya memandang ke luar tingkap. Kagum dengan pembangunan pesat di Putrajaya. Bangunan beraneka bentuk.

"Pejabat pak long kat mana?"

"Itu bangunan merah tuu.. KPT yang sebelah sana..yang hujung sana JPA.. nampak tak?"

Aku memandang. Banyak betul bangunan.

"Waa...besar-besar...tapi jauhnya nak jalan pak long.."

"Bagi kurus la sikit..."

Amboi. Perli nampak. Pak long tersenyum. Liyana di belakang hanya menekup mulut. Menahan tawa. Aku hanya mencebik. Kuram asem.

*****

Masih berbaki sebulan untuk aku terbang ke Jordan. Gembira ada. Sedih pun ada. Gembira sudah dapat capai impian ke luar negara. Sedih sebab nak tinggal keluarga. 4 tahun merantau di bumi orang bukan benda yang mudah.

Esok, sudah mula program orientasi Pelajar Jordan Kedah di Hotel Amanpura, Sungai Petani di bawah anjuran Majlis Agama Negeri Kedah. Sebenarnya amat janggal untuk turut serta, sebab aku pelajar persendirian bukan baawah jabatan agama.

Dan sedih, Liyana membatalkan hasratnya untuk ke Jordan. Aku tiada teman lagi. Hanya mengharapkan Allah di sisi. Berbekalkan ketebalan muka yang tebal melampau, aku hadir ke program. Alhamdulillah, seronok.

3 hari 2 malam. Program di bulan puasa. Terawih bersama, berbuka bersama dan bersahur bersama sangat indah. Aku seronok.

Kami didedahkan tentang Jordan. Suasana di sana. Tidak sabar rasanya untuk ke sana.

Jordan, satu nama yang sudah terukir di hati. Beribu batu jauhnya dari tanah airku. Tinggalkan keluarga, adik dan sahabat-sahabat hanya untuk satu permusafiran.

Sepanjang 3 hari 2 malam. Aku seronok. Tapi ada sesuatu yang tidak aku puas. Hati rasa kosong. Tidak sedap hati. Kenapa Ya Allah..

Aku masuk ke dalam lif, turun ke ruang legar hotel. Abah sudah menanti. Dari jauh aku nampak abah duduk di kerusi. Muka abah tegang. Berdebar aku mendekati abah.

Abah bangun. Muka masih tegang. Kami berjalan seiringin menuju ke kereta.

Abah bisikkan sesuatu.

"Jannah lari rumah..."

Terbeliak biji mata. Beg terhempas. Abah hanya memandang, sambil menggeleng kecewa.

"Bila abah?" Aku minta kepastian.

"Tak tau.. mak nak kejut sahur..dia tak da.." Abah sayu menutur kata.

"Sekarang?" Aku pegang tangan abah.

"Itu ada.. Subuh tadi balik..."

Aku pegang dada. Allah, sakit sangat.

Aku masuk ke dalam kereta, mata emak merah. Jannah hanya duduk membantu di sebelah aku. Jujur, aku kecewa.

Kalau ikutkan emosi, sekarang juga aku tampar.

*****

Mak masih berteleku di sejadah. Aku menghampiri.

"Mak...macam mana boleh Jannah keluar rumah?" Mak memandang aku. Kosong.

"Tak tau la Timah...mak nak gerak sahur.. macam biasa la..mak buka lampu..dia tak jaga... mak tarik selimut.. bukan Jannah..dia pandai tau dak..susun bantal macam orang tengah tidur...kipas bukaa.."

Mak bercerita sambil menangis.

"Ya Allah...dia keluar guna pintu mana?"

"Tak tau la Timaah..pi la tanya dia..mak pening dah ni..pintu depan tak berkunci..dia keluar kot situ la.."

"Macam mana tau dia balik mak?" Aku masih tidak puas hati.

"Pak lang bagitau.. Subuh tadi ada dengar motor berhenti..tengok-tengok Jannah ada depan tu.. dengan tak pakai tudungnya..rambut serabut..." Mak menunduk.

Aku terduduk. Menangis di situ juga. Sedih, aku gagal didik adik aku sendiri.

"Kakak dah kata mak..kakak dah kata dari dulu..kenapa semua tak percaya cakap kakak...Jannah memang tak patut duduk sekolah tu..jahanam!"

Apa guna aku bertudung litup, adik sendiri aku abaikan auratnya.

Apa guna aku berusrah sini sana, adik sendiri aku abaikan tarbiyahnya.

Apa guna aku beribadah seorang diri, adik sendiri aku biarkan hanyut begitu saja.

Dayus kah aku Ya Allah?

*****

Pintu bilik aku kuak. Jannah sedang baring dengan posisi badannya membelakangi aku. Aku duduk di tepinya. Aku tenung dia. Aku mengetap bibir, menahan air mata dari mengalir.

"Jannah...tak sayang mak abah ka?"

Dia diam.

Aku pegang bahunya. Dia tepis.

"Kenapa buat macam ni? Kita perempuan..kita ada maruah..."

Belum sempat aku menghabiskan kata-kata, abah masuk. Berdiri di hadapanku. Muka abah tegang.

"Tepi Timaaaah.." Abah arahkan aku bangun. Di tangan abah, ada tali pinggang.

Hati aku sudah rasa lain. Spontan abah memukul Jannah.

"Abaaah..jangan buat Jannah macam tuu.." Aku cuba menahan.

Mak sudah meluru ke arah abah.

"Budak kurang ajar..memalukan keluarga.. aku tak pernah ajar anak aku macam ni.." Abah masih memukul Jannah.

Aku peluk pinggang abah dari belakang.

"Sakit abah...sakit..." Jannah meraung.

Mak cuba menahan tangan abah.

"Abang...sudah...dia anak kitaa.." Mak sedaya upaya menyabarkan abah.

Aku masih kuat memeluk abah. Air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Pilu rasa.

"Angaaaahh... " Aku menjerit memanggil adik lelaki aku.

Dia terus datang menarik abah dengan kuat. Abah terduduk. Aku juga terduduk sama kerana aku memeluk abah dari belakang.

"Abah kecewa..." Abah menangis.

Aku membetulkan posisi duduk aku. Perlahan aku bangun peluk abah. Mak juga begitu. Angah hanya berdiri. Jannah hanya memeluk tubuh sambil menangis.

Suasana pilu dan sedih.

Hanya sebab beri kemewahan, bagi internet, bagi telefon... segala kerosakan jiwa untuk bermula. Dulu kami tidak tangani masalah ini dengan lebih baik. Kami biarkan mereka hidup dengan kemewahan teknologi.

Telefon bimbit tidak pernah diselidik.

Andai dulu, telefon bimbitnya berjaya di rampas, segala masalah pasti terungkai.

Remaja hari ini, segalanya harus kita selidiki.

Mereka sedang maju, arus maksiat itu di depan mata!

*****

9.9.2011

Aku terbang jauh ke bumi Jordan. Aku serahkan pada Ilahi urusan keluargaku. Masih tidak henti-henti berdoa supaya apa yang berlaku ada hikmah-Nya.

Jannah, sudah abah berhentikan dari sekolah menengah biasa.

Angah, sudah giat membaca buku untuk SPM.

Adik bongsu, sudah abah tetapkan.. aliran agama bakal hala tuju bila besar kelak, itu yang terbaik!

Dan aku, berkelana jauh. Menuntut ilmu.

"Ya Allah..mudahkan urusan keluargaku Ya Allah... ini pintaku.."

Hampir setahun aku di sini. Banyak khabar gembira yang membuatkan aku rasa bahagia.

Abah kata... 

"Hari lahir abah tahun ini, hari lahir paling gembira.. anak-anak abah dah jumpa haluan masing-masing.. Jannah dah makin berseri di maahad tahfiz.. dia ada hantar surat mintak maaf dan menceritakan segala-galanya. Surat yang menyayat hati...dan abah dan mak bahagia dia sudi berubah..."

"Kakak...jom lumba hafaz quraaan.."

Ayat keramat yang pasti aku ingat sampai mati.

Jannah Al-Mukminah, Kakak sayang kamu kerana Allah.

Ya, inilah dia kata-kata seorang adik yang kini sedang giat menghafaz quran di maahad tahfiz. Tidak sabar untuk aku lihat wajahnya, ayu bertudung labuh dan berjubah.

Ya Allah, tahukah perasaan aku tika ini?

Hanya satu...benar, rahmat Allah itu Maha Luas.. Dia yang dahulunya teruk, hari ini berubah menjadi wanita muslimah yang solehah lagi mukminah. Dari seburuk-buruk kejahatan, Allah ubah insan ini menjadi sebaik-baik wanita solehah.

"Kakak.. Jannah dah berubah..Jannah rindu kakak.." Selalu ayat ini dilontarkan , ketika kami berpeluang berbual. Sekali-sekala jika abah melawatnya di maahad, kami akan berbual.

"Ya...kakak rindu Jannah juga.Pakai tudung labuh ya sekarang? Mesti ayu adik kakak ni.." Aku memuji.

"Alhamdulillah..mestilah tudung labuh.."

Allah...jujur. Aku bersyukur pada-Mu Ya Rabb...


*****

Sahabat-sahabat, tahukah apa moral dalam kisah ini?

"Hopeee..dari jahat boleh berubah jadi baik... Rahmat Allah itu Maha Luas.." 

Jangan tinggalkan mereka, mereka insan yang masih mahu berubah, Beri peluang kepada mereka. Pliss.. plese give them HOPE.

Dear Jannah,

I love you so much!

-END-

Note : maaf kalau cerpen ini tidak menarik, sudah lama tidak menulis ;)

Qani'ah Mawaddah
Sakan Yarmouk
11.18 am
7 Mei 2012

3 comments:

Khairul said...

Salam.
Citer ni Terbaik.

best kata2 ni:

Apa guna aku bertudung litup, adik sendiri aku abaikan auratnya.

Apa guna aku berusrah sini sana, adik sendiri aku abaikan tarbiyahnya.

Apa guna aku beribadah seorang diri, adik sendiri aku biarkan hanyut begitu saja.

Dayus kah aku Ya Allah?

Sangat terkesan di hati saya.
sbb sy juga ada adik2 lelaki & perempuan.
terima kasih.

szazaniza said...

Teringat kata-kata nasihat bonda tercinta...Bertudung LABUH bukan semata-mata ia seorang USTAZAH tetapi kerana kita seorang MUSLIMAH. Menjaga akhlak kerana kita seorang MUSLIM. Jangan harapkan pujian tetapi hadirkan rasa KEIMANAN kepada Allah

♥ AURAT di Tutup, AKHLAK di Jaga ♥
wallahuallam...

Anonymous said...

diadaptasi dari kisah benar..