Pages

Saturday, December 31, 2011

SABARKAH KITA?

            Jarum jam sudah menunjukkan tepat pukul 2.17 pagi. Aku baru selesai menyiapkan ‘samosa’ sebagai santapan esok hari. Teman yang dari tadi menemani, sudah enak dibuai mimpi. Cuma aku yang masih setia di sini. Membuka mata di sebalik kesejukan pagi. Entah kenapa tidak sesejuk pagi tadi, terasa hangat yang menjalari tubuh ini.

            Masih bertelekung, aku capai cermin mata di hujung meja. Terasa ingin menulis di sini. Tersenyum seorang diri mengingatkan suasana ‘Kembara Iman’ di rumah no 9 tadi. Kembara Iman seakan satu usrah yang di bawah Pembangunan Rohani Persatuan Pelajar Malaysia Irbid. Setiap ‘sakan’ yakni asrama diwajibkan melaksanakan ‘Kembara Iman’ ini setiap hari Jumaat malam.




            Malam ini berlangsung lagi. Seperti biasa. Jika minggu lepas aku yang mengendalikannya, dan hari ini sahabat aku pula. Dengan bekalan baju tebal tersarung kemas di badan, aku gagahkan diri naik ke tingkat 3. Bilik no 9, sebelah kanan. Penuh kasut di luar bilik. Fuh.. padat!

            Aku masuk. Dari hujung pintu, aku beransur ke tengah apabila makin ramai yang hadir. Setiap kali mengubah kedudukan, kian dekat aku dengan si penyampai. Dekat dan makin dekat. Dan akhirnya, bertentang mata terus. Lutut bertemu lutut. Nak khabarkan betapa padatnya bilik no 9 malam ini.

            Acap kali si penyampai ketawa malam ini, dan aku juga menjadi bahan tawa. Maklumlah, terlampau dekat, sampai aku dekatkan dagu di laptop yang berada di atas riba si penyampai. Tajuk yang indah. Indah untuk dinukilkan dan dihayati. Sabar..

“…Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar..”

~Al Qashah : 80~

            Terlalu indah untuk berbicara mengenai sifat sabar. Satu sifat yang mudah untuk kita peroleh pahala darinya, namun amat sukar untuk kita laksanakannya. Benar? Ya.. benar sekali untuk menjadi orang yang sabar. Terlalu sukar.

*****

Sabar bukan menyerah..

            Acap kali kita salah ertikan maksud sabar. Sabar itu dalam kesusahan atau kepayahan. Tetapi, untuk mengejar kesenangan dan keinginan, kita tidak boleh selamanya asyik sabar menanti. Kerana ia seakan kita menyerah. Adakah sabar itu menyerah?

            Sebagai contoh, kita tidak mendapat markah yang kita ingini dan amat sedikit di dalam exam. Lantas kita katakan.. ‘Tak pa, sabar…’ ya, boleh kita ucapkan ‘sabar..’ tapi ingat, kita tidak boleh menyerah. Tetapi teruskan usaha untuk mencapai kejayaan itu. Jangan asyik menggunakan istilah ‘sabar..sabar’ tanpa usaha yang gigih setelah kita kecewa dengan perkara tersebut.

Tempuhi dengan iman..

            Sabar itu menyeluruh. Pelbagai cabang sabar yang kita tempuh setiap hari. Bersabar tika ditimpa kesakitan. Bersabar tika ditimpa musibah. Bersabar tika mendapat khabar kematian. Bersabar dengan perkara yang lain juga.

            Tidak semua mampu untuk menjadi orang yang sabar. Dengan iman yang ada pada diri kita, membuatkan kita dapat menempuh semua ini dengan sabar. Cuba fikir, andai kita tidak punya iman, andai ditimpa musibah, sudah pasti kita melakukan perkara yang di luar jangkaan seperti bunuh diri, menyesal dan sebagainya.

            Alhamdulillah, dengan nikmat iman yang Allah berikan.. kita masih mampu bersabar dan saat itulah baru kita tahu, bahawa Allah itu ada. Allah itu sangat dekat dengan diri kita. Selama ini, bila kita senang…kita lupa Allah. Tatkala kita ditimpa musibah, baru Allah yang kita cari..

*****

            Mengupas aspek sabar. Aku terkenang satu situasi. Kita acap kali terasa dan disakiti oleh insan di sekeliling. Kita cuba untuk sabar. Aku juga merasa perkara yang sama. Kita menahan rasa marah itu dengan bersabar, dan akhirnya kita rasa sakit di hati. Terkadang bagai mencucuk dada kita menahan rasa marah itu.

            Saat kita menahan itu, syaitan kalah! Ya.. kerana kita berjaya melawannya dengan sifat sabar. Tetapi, adakah selamanya kita dapat menahan rasa dengan sabar ini? Pada aku, kita cuba lakukan sesuatu. Supaya si dia yang selalu membuatkan kita terasa kian berubah, dan kita juga tidak merana menahan sakitnya hati.

Bagaimana?

            Kita ‘slowtalk’ dengannya. Bercakap dengan penuh hikmah. Jelaskan satu persatu padanya. Sama ada melalui surat… kad ucapan dan sebagainya. Macam aku? Aku suka tulis surat dengan kata-kata yang indah.. dan aku suka nyanyi lagu kat sahabatku. Walaupun payah untuk dia terima. Lama-lama dia berlapang dada tatkala melihatkan kesungguhan kita dan air mata yang menitis hanya demi seorang sahabat!

            Aku tertarik dengan kata-kata seorang sahabat, Afiqah di penghujung Kembara Iman. Dia berdiri di dinding berikutan ruang kosong yang sudah penuh. Aku pusing ke belakang. Mendengar kata-katanya, subhanallah..indah!

            “Sabar itu menyesakkan hati.. redha itu melapangkan hati..”

            Aku terfikir. Kenapa? Betul juga, bila kita asyik sabar..kita selalu urut dada dan pejam mata, terus ungkapkan ‘sabar..sabar’. Walhal dalam hati tu, bagai bom yang sudah nak pecah. Sakitnya menahan rasa.

            Tapi..andai redha yang kita ungkapkan. Tiada apa yang kita runsing dan sakiti lagi kerana kita sudah redha. Kita lepaskannya. Lupakannya terus. Biar Allah sahaja yang tahu. Aku juga mahu belajar untuk redha. Redha dengan segalanya. Setelah rasa sabar.. aku akan cuba hadirkan dalam diri ‘redhalah..redhalah..’.

*****

            Sabar itu indah bukan? Tersangat indah. Tetapi.. selama ini sabarkah kita? Tanya pada hati, sabarkah kita mengharung kehidupan ini. Tiap kali kita terpijak sesuatu yang menyakitkan, setiap kali itulah kata-kata yang tidak baik kita lontarkan. Setiap kali marah dengan kawan, kita kutuknya di belakang. Inikah erti sabar?

Sahabat,

            Seorang yang sabar itu, hatinya tunduk pada Ilahi. Tiap kali sakit, perkataan Allah yang meluncur di bibirnya. Sabar dia mengharung kesakitan kerana dia tahu, ada hikmah di sebalik kesakitannya. Air matanya menjadi saksi. Makin dekat dia pada Allah. Meluah segalanya. Subhanallah..indahnya sifat sabar itu.

            Setiap kali ditimpa musibah. Tidak pula dia salahkan sesiapa, kerana dia tahu.. dulu dia pernah senang, Allah beri dia kesenangan..dan hari ini di jatuh, kerana dia tahu.. Allah rindu munajat dia pada-Nya. Mungkin tika senang, dia alpa dalam ibadatnya, tetapi bila susah..dia makin dekatkan diri pada Rabb…indahkan sifat sabar?

            Sabarlah kita melepaskan kesenangan dunia ini. Sabarlah kita melepaskan benda yang melalaikan kita. Ayuh kita tempuh kehidupan ini dengan redha dan rahmat Ilahi. Itu jauh lebih indah sahabatku.

            Aku hulur tanganku pada kalian. Mari bersamaku, kita teladani sifat sabar dalam kehidupan kita.. Ya Allah..berikan kami secebis kesabaran para sahabat yang berjuang demi agama-Mu. Ya Allah..kurniakan kami ketabahan para serikandi terdahulu. Kurniakan ketabahan Siti Hajar dalam mengharung badai padang pasir bersama anaknya Ismail. Ya Allah…dakapi kami dengan rahmat sabar, bonda Khadijah yang setia berjalan di sisi Nabi, membantu kekasih agung-Mu berjuang menegakkan agama-Mu…

            Ya Allah..kurniakan kami, kesabaran keteguhan iman Bilal bin Rabah yang berjuang demi kalimah Allah. Sungguh, aku kagum akan keimannya. Ya Allah…berikan kami secebis kesabaran Fatimah Az –zahra, mengharung hidup serba sederhana dengan penuh kesabaran dan keimanan.

            Mereka sabar menempuh kehidupan ini. Mereka insan yang mulia, namun tidak pula mereka sombong dan bongkak dengan kekayaan duniawi. Malah, sifat sabar itu yang memagari diri. Sungguh, mereka insan bertakwa. Layaklah mereka menjadi penghuni syurga.

            Tapi kami..? Layakkah kami Ya Allah? Secebis sifat sabar pun terlalu sukar untuk kami amalkan..bagaimana rasanya untuk kami melangkah ke Jannah-Mu Ya Allah.. malu rasanya….

            Duhai hati..teladanilah sifat sabar itu…

Nota kaki :

-Muhasabah kembali diri kita, dan sama-sama meneladani sifat sabar itu.

-Doakan aku istiqamah di jalan suci ini..

-Pssiiittt..doakan aku exam, qasidah makhraj di Markaz Quran Hafsah esok hari!

Qani’ah Mawaddah,
Sakan Yarmouk,
2. 59 am
31 Disember 2011

2 comments:

Aliyah Al~Istiqamah said...

masyA ALLAH adik
hebatnya penulisan

psssssst,da deactivate fb balik ke?
susah akak nak kontek ^^

Qani'ah Mawaddah said...

Haiiipp... dapat juga anda menjejak saya! heeee

itu la..lupa pula pasal date kita sabtu ni kan? ermm.. nanti suha risik2 la no phone akak ea ~_^