Usai solat isyak dan menghafaz ayat quran. Aku tarik tilam aku di bawah katil. Masih dalam keadaan bertelekung, aku duduk di atas tilam.Bilik aku terlampau sejuk sangat. Jadi, terpaksa angkat tilam, tidur bilik kawan. Tiap-tiap malam, akan tarik tilam yang disembunyikan di bawah katil.
Netbook aku dekatkan. Sejak dari tadi berdoa pada Allah, moga penulisan aku kali ini dengan hadirnya hati yang tulus kerana-Mu. Sambil mendengar lagu Mawaddah, nyanyian Khaulah, aku relakan diri menaip lagi di sini.
Rasanya sudah banyak kali aku cuba untuk menulis. Dan akhirnya gagal. Penulisan sekerat jalan yang akhirnya aku delete begitu sahaja. Kenapa? Kerana hatiku tidak hadir. Tiada rasa.
“Perempuan yang baik takkan luah isi hatinya pada khalayak umum..”
*****
Secebis ayat yang senantiasa membuatkan aku terhenti untuk menulis. Kekadang bermacam perkara yang aku ingin tulis. Kisah indahku di bumi Irbid ini, seakan laju ingin dicoretkan di sini, Terlalu indah untuk aku kongsikan bersama.
Kenapa tidak boleh?
Kadang aku duduk termenung seorang diri. Marah dalam hati. Kenapa tidak boleh? Apa yang aku buat semua salah. Bila aku tengok blog dengan fb orang lain. Lagi teruk luahan hatinya. Tetapi bila aku tulis. Ada sahaja yang tidak kena.
Hati aku terus bermonolog. Kenapa? Mempersoalkan satu demi satu. Hingga sakit kepala ini. Kenapa semuanya tidak boleh? Orang lain buat juga. Kenapa tak tegur mereka? Aku juga yang kalian tegur? Bla..bla…bla.. dan bermacam lagi yang aku rungutkan.
Tarbiyah hati…
Itu hanya monolog dalaman. Yang tak terungkap dek kata-kata. Hati aku yang bermonolog sakan. Hanya raut wajah aku yang terkesan. Tetapi tidak pada kata-kata yang aku lontarkan. Aku cuba berhusnuzon. Melawan kata hati. Melawan ‘syaitan’ mungkin.
Dan akhirnya aku temui.. kenapa aku harus tidak sama dengan wanita lain?
Kenapa aku tidak boleh selalu meluah rasa seperti gadis lain..?
Kenapa aku tidak boleh lincah di Fb seperti budak perempuan lain..?
Kenapa aku tidak boleh melonjakkan nama seperti orang lain..?
Ukhtiku, engkau bisa meluah rasa seperti gadis lain. Namun bukan tempat awam jadi sasaran. Kepada Allah jua harus engkau luahkan. Engkau bukan gadis biasa yang harus menjaja kisahmu. Tetapi engkau gadis asuhan madrasah rasul. Gadis yang ditarbiyah dengan didikan Islami dengan sebaiknya. Pantaskah seorang gadis Islami meluah rasa di khalayak umum? Tidak sayang.. kepada Penciptamu harus kau luahkan. Kerana Dialah Maha Mengetahui apa yang ada pada dirimu.
Ukhti, apa guna engkau lincah di Fb. Tempat durjana penuh mehnah duniawi. Ya, engkau katakan ada kebaikannya. Namun, keburukannya melebihi kebaikan. Selangkah engkau masuk ke alam itu, selangkah engkau melangkah ke dunia penuh fitnah duniawi. Aku akur, banyak kebaikan dan kata taujihad yang kau pamerkan. Sungguh manis sekali. Namun, engkau tidak lihat.. mata-mata manusia dan hati-hati manusia, acap kali salah menilai. Di tambah pula dengan panahan syaitan yang senantiasa memburukkan keadaan.
Bersederhanalah ukhtiku di alam maya itu. Fithnahnya tersangat besar. Hatta, engkau wanita Islami sekalipun, lincahmu amat jijik kelihatan. Aku malu. Kerana aku juga kadang begitu. Post-post mu menampakkan hatimu. Memaparkan siapa dirimu. Allah.. malunya kerana aku juga tersilap langkah. Aku tidak mahu kalian juga begitu.
Ukhti.. namamu terlalu indah untuk diukirkan. Lonjakkan namamu tanpa kamu pinta. Kamu tidak kejar ia. Tetap ia yang kejar kamu. Lonjakkan namamu atas nama kebaikan, bukan atas nama keburukan. Ingat, apa guna nama disebut di dunia fana, tetapi hina di langit sana. Lebih indah nama terukir kemas, di sebut di langit sana, di dunia ini hanya diam seribu bahasa..mencari secebis redha Ilahi.
Engkau ‘mujahidah’..
Kini aku sedar. Sebentar tadi titisan air mataku gugur. Aku sedar kenapa aku tidak boleh jadi seperti orang lain. Tanpa segan silu meluah rasa. Tanpa rasa malu menonjol di sana sini. Kerana aku seorang mujahidah. Mujahidah membela agama ini.
Aku singkap kisah semalam. Di akhir form 2, aku mengambil keputusan untuk keluar dari asrama dan masuk ke dunia rumah sewa badan dakwah. Aku tinggalkan kesedapan tilam asrama dan masuk ke dunia rumah sewa yang tidurnya beralas lembek sahaja. Aku lupakan makanan yang sedap-sedap di asrama, dan mencuba makan di dalam talam sahaja. Suap menyuap bersama rakan-rakan.
Saat itu aku ditarbiyah. Tumbuh menjadi seorang gadis yang cintakan perjuangan. Aku hidup dalam dunia perjuangan. Allah.. sungguh..aku rindu dunia tarbiyah itu. Seakan aku ingin putar kembali, menjadi si junior yang ditarbiyah oleh senior yang hebat. Pelukan ukhwah dan kasih sayang yang pasti tersemat di kalbu.
Hari ini aku sudah besar. Membawa nama Nur Nasuha binti Abdul Rahman di dataran syam ini. Memikul bebanan dakwah hingga akhir hayatku. Menggunung bekalan tarbiyah yang mereka tinggalkan buatku.
Bila jauh..aku diuji..
Bila keseorangan.. aku sepi..
Itu lumrah. Alhamdulillah, aku cepat sedar. Bila aku terlalai, Allah masih menyayangi aku. Syukur. Kerana Dia masih beri masa kepadaku untuk sedar kembali.
*****
Hari ini, aku deactive Fb untuk yang entah ke berapa kali. Teruk bukan? Lari dari masalah. Ya, teruk. Tapi maafkan aku. Aku masih setahun jagung. Aku tidak mahu hati ini makin parah dan rosak. Kerana aku seorang mujahidah. Mana bisa seorang mujahidah teruk akhlaknya. Aku malu Ya Allah..tidak layak membawa agama-Mu, andai aku sendiri.. seorang dai’e yang teruk peribadinya.. Allah..
Mulai saat ini..aku cuba didik hati..
Mulai saat ini..aku cuba lawan rasa..
Bahawa aku tidak boleh jadi seperti gadis lain. Aku harus jadi luar biasa. Kerana aku mujahidah pembela agama. Aku harus jadi hebat. Wanita hebat yang penuh keimanan. Bukan wanita hebat yang membawa nama. Menjadi buah mulut manusia, membawa fitnah di akhir zaman. Nauzubillah…
Izinkan aku mentarbiyah hati. Perjalanan aku entah bila akan berakhir. Sebelum mata terlena, izinkan aku dekatkan diri pada Rabbul Izzati. Sungguh, aku rindu tangisanku di malam hari. Aku rindu sedu sedanku pada-Mu Ya Allah.. Dakapi daku dengan rahmat kasih sayang-Mu.. Allah..
“…(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram..”
~Ar- Ra’d : 28~
Nota kaki :
-thanks kepada semua, bila aku buka blog kalian, dalam list bukan Qani’ah Mawaddah.. tetapi nama Serikandiumar, jujur..aku sebak di atas kepercayaan kalian
-gadisku, moga aku dan kamu menjadi wanita solehah , mujahidah pembela agama.. amin
-maafkan aku teman, doakan kebaikan pada diriku..
Qani’ah Mawaddah,
Sakan Yarmouk
6.48 pm
27 Disember 2011
4 comments:
terima kasih di atas perkongsiannya
salam, terima kasih ziarah.
post ni best dan terpukul. terima kasih. post ni betul2 memahamkan saya persoalan yang terbang2 dalam kepala.
Sekali lagi terima kasih
teruskan dakwah penamu :)
Maaf atas peristiwa semalam.. X disangka..
subhanallah.. buat diri sedar.......
Post a Comment