Pages

Tuesday, December 20, 2011

TIUPAN ITU


Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan keras,
dan (malaikat-malaikat) yang mencabut (nyawa) dengan lemah-lembut,
dan (malaikat-malaikat) yang turun dari langit dengan cepat,
dan (malaikat-malaikat) yang mendahului dengan kencang,
dan (malaikat-malaikat) yang mengatur urusan (dunia)
(Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan) pada hari ketika tiupan pertama menggoncang alam,
tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua.
Hati manusia pada waktu itu sangat takut,
Pandangannya tunduk.

~An-naazi’at : 1-9~

            Pen ditangan terus diletak ke tepi. Aku dekatkan diri menghadap skrin laptop, melihat tafsiran ayat quran ini. Inilah rutin harianku, sejak akhir-akhir ini. Mencatat segala tafsiran ayat al-quran yang terkandung dalam kitab Aqidah Islamiyah ini sudah menjadi ‘hobi’. Berikutan final exam yang kian hampir, bersungguh-sungguh aku cuba fahami.


            Hari demi hari, pelbagai ayat dengan maksud yang tersirat aku temui. Ayat ini mengetuk pintu hatiku. Tiupan sangkakala yang pasti akan berlaku. Saat tiupan yang digeruni umat manusia. Tiupan yang bakal mengubah segala-galanya.


Kegembiraan bakal ditiup pergi..


*****
            Angin kuat sejak akhir-akhir ini. Pokok bergoyang hebat. Kesejukan kian mencengkam jiwa. Seakan angin yang menderu datang membawa bersama ketulan ais batu yang membeku. Aku masih ingat, semalam.. tika masih menghadap kitab, tika sahabat serumah sudah lena dibuai mimpi, angin kuat yang menderu di luar sana, menggetar jiwa. Sungguh! Rasa takut. Pintu bilik air dan dapur beberapa kali terkuak membuatkan aku terkejut.

            Hati…perasaan. Sebuah ketakutan! Ketakutan pada angin yang tidak sehebat tiupan sangkakala!

            Ya.. benar. Jika angin yang menderu itu sudah aku takuti. Inikan pula angin tiupan sangkakala. Penghabisan kegembiraan kehidupanku pada dunia yang sementara.

Takutkah aku?

            Siapa yang tidak takut. Menghadapi satu saat yang telah dijanjikan Allah. Semuanya rahsia Allah. Entah bila? Namun.. sudah pastinya saat itu akan tiba. Usah persoalkan bila saatnya akan tiba, tetapi persoalkanlah… bersediakah aku?

Bersediakah kita?

            Jujur aku katakan. Masih banyak yang pincang. Masih banyak yang tempang. Aku perlu menampal kembali segalanya. Membuat persediaan keimanan. Perjalanan masih jauh. Ya! Aku akui…perjalanan kita masih jauh. Cuma satu yang harus kita persoalkan pada diri…

“…Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah." Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya…”
~al –ahzab : 63~

Mati itu pasti bukan?

            Kita cuba sedapkan hati dengan berkata. ‘Perjalanan kita masih panjang’. Cuma.. kita lupa pada satu hakikat kehidupan. Mati itu tidak mengira waktu. Mungkin sebentar lagi dan mungkin esok hari. Adakah saat kematian itu datang menjemput, kita masih mahu katakan… ‘perjalanan kita masih panjang..?'

            Tidakk…

Didik hati..

            Aku ingin bersama kalian, mendidik hati kita. Meletakkan di hadapan bahawa kematian itu kian dekat. Nescaya pasti kita akan berbuat amal kebaikan itu dengan bersungguh-sungguh kerana kita sedar, perjalanan kita tidak ‘sepanjang’ mana. Allah…
Pernah dengar bukan? Satu pepatah..

Bekerjalah bersungguh-sungguh,
ibarat kamu ingin hidup seribu tahun lagi,
Beribadahlah bersungguh-sungguh,
 ibarat kamu ingin mati esok hari..

            Subhanallah, kata-kata yang indah untuk dinukilkan. Sangat bermanfaat untuk dijadikan satu motivasi dalam diri.

            Jaga diri. Jaga iman. Jaga amal. Insyaallah, Allah bersama aku dan kamu. Selamat beramal!

Nota kaki :

-perjalanan kita kian singkat, kewajipan melebihi waktu [wasiat Hassan-Al Banna]
-maafkan kesalahanku, dan doakan aku istiqamah di dalam perjalanan ‘mendidik hati’

Qani’ah Mawaddah,
Maktabah Jami’ah
12.07 pm
20 Disember 2011 

No comments: