Pages

Wednesday, July 13, 2016

KEKUATANKU


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sekian lama tak menulis, hari ini rasa nak menulis balik. Dulu time buka blog ni usia Qani'ah 15 tahun. Sekarang usia Qani'ah dah 23 tahun. Dah berkahwin dan dikurniakan seorang cahaya mata, penyejuk mata Qani'ah dan suami. Saat entry ini ditulis, puteriku sedang nyenyak tidur di buai. Mengambil kesempatan puteri ku tidur, Qani'ah mula menulis. Melepas rindu pada penulisan.

Tanggal 15 Mei 2016, lahirlah puteri kami. Puteri yang ditunggu-tunggu. Allah kurniakan diri Qani'ah mengandung dalam tempoh masa yang begitu pantas. Dalam masa sebulan berkahwin, belum sempat kenduri di pihak lelaki, sehari sebelum kenduri, disahkan hamil. Rezeki bunting pelamin orang tua-tua kata.

Takjub. Mana tidaknya, dulu sakit bukan main teruk. Masuk hospital lah. Rahim jatuhlah. Turun darahlah. Tapi Allah Maha Kaya, sakit sakit, tapi lekat anak awal , Alhamdulillah. Selepas sebulan lebih berkahwin, Qani'ah pulang ke Jordan untuk meneruskan pembelajaran yang berbaki. 1 semester lagi. Ya, lepas itu Qani'ah akan graduate.

Di sini cabaran demi cabaran bermula. Sejurus lepas kahwin, sudah PJJ, tapi masih boleh berjumpa pada hujung minggu. Tapi setelah kembali ke Jordan, ini PJJ jarak jauh, dengan keadaan badan yang sedang hamil anak sulung, meninggalkan suami dan kembali ke Jordan, amat mencabar dan memerlukan hati yang utuh dan jiwa yang kental.

Kelas di tingkat 5, setiap hari, lain-lain bangunan setiap hari. 7 subjek yang perlu diredah. Pulang ke rumah berjalan kaki. Mencabar apatah lagi jalan di Jordan berbukit bukit. Rumah pula tingkat 3. Mengah. Ya sangat mengah. Masuk kelas rasa mual, semua benda rasa busuk. Di tahannya rasa muntah dengan menghidu minyak angin. Sampai orang Arab tanya bau apa, mereka tak pernah bau.

Qani'ah mengalami pengalaman muntah selepas maghrib. Lepas maghrib mesti muntah. Bau kawan kawan masak pun rasa busuk. Sampai suruh mereka tutup pintu dapur jika nak masak. Dengar bunyi bising pun tak boleh. Susah nak tidur, begitu sensetif nya jiwa ibu mengandung ni.

Rasa marah, rasa nak nangis. Selalu suami jadi tempat mengadu dan melepas tangis. Rasa keseorangan, hanya ada Qani'ah dan si kecik dalam perut. Hampir 3 kali jatuh dalam bilik air, tapi si kecik ini masih kental di dalam perut Qani'ah. Setiap kali jatuh, esoknya melangkah penuh kerisauan ke klinik di Balad Irbid, Keseorangan. Alhamdulillah kandungan ok. Baby siap menendang lagi waktu scan. Kuatnya kamu wahai anakku. Terima kasih Ya Allah.

Pengalaman mengandungkan si kecik ini di perantauan, tanpa suami di sisi, mengundang hiba. Kekuatan diperlukan. Walaupun ada air mata yang mengalir. Qani'ah perlu gagahkan. Semester ini mesti dihabiskan, dan pulang segera ke pangkuan suami. Alhamdulillah Qani'ah lulus. Takut sangat tidak lulus. Mana tidaknya, tiket sudah dibeli, Qani'ah mahu pulang terus tanpa menunggu majlis konvokesyen sebab usia kandungan sudah hampir 6 bulan pada waktu itu.

Syukur semuanya selamat, zuriatku ini sumber kekuatanku, sumber inspirasiku, kesayanganku, penyejuk mataku dan suami.

Insyaallah next post, Qani'ah nak kongsi pengalaman bersalin dan tips mudah bersalin. Insyaallah :)

Moga berjumpa lagi di lain lembaran.


Qani'ah Mawaddah,
Bandar Parklands, Klang,
12.50 tengahari,
13 Julai 2016.

Monday, May 18, 2015

PELUKI DAKU YA ALLAH...


Tuhan, aku makin jauh dari -Mu. Sungguh, makin hari, makin mencabar kehidupan di dunia ini. Makin mencabar dengan fitnah akhir zama yang melanda. Fitnah yang merosakkan segenap inci kehidupan manusia.

Makin lama, makin rosak. Makin lama, makin lalai. Tuhan, bantulah hamba-Mu ini dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh pancaroba dan cabaran dunia. Sungguh, aku tidak mampu menghadapi semua ini tanpa-Mu Ya Allah.. Ya Tuhanku..

Peluki daku ya allah.. Pimpinlah daku ya allah.. Tunjuki daku jalan yang benar.. Jalan yang benar benar mendapat keredhaan-Mu Ya Allah.. Aku tidak kuat.. cubaan dan dugaan dunia yang sulit sekali..

Allah... bagaimana untuk ku membentuk diri di akhir zaman ini Ya Allah.. Rakusnya nafsu menumpaskan iman senipis bawang. Tumpas pada dunia yang fanaa. Tersedar ku dalam kesesakan dunia, menangis perit sekali. Menangisi setiap kesilapan dan dosa..

Begini rupanya dunia akhir zaman. Menyakitkan dan memeritkan setiap jiwa. Pedih dan dalam luka tidak terhingga.

Allah... selamatkan daku sebelum terlambat.. Selamatkan manusia di luar sana. Sedarkan mereka ya Allah...

:(



Qani'ah Mawaddah
2.00 pagi
Irbid, jordan

Friday, September 26, 2014

PENA TANPA NAMA



Belum sampai seminggu, kaki ini memijak tanah bumi Syam, Urdun. Hati menggamit rasa rindu. Rindu pada mak, ayah, adik adik.. dan nommi. Si kucing kesayanganku. Pelik. Bila ada dekat, tak nak dengar cakap mak ayah. Gaduh dengan adik adik. Bila jauh, dengar lagu sedih sikit terus teringat.

Begitulah lumrah. Lumrah manusia.

Kepala ligat memikirkan bait kata. Tangan terasa ingin menulis. Hampir 9 bulan rasanya blog dibiarkan. Tanpa ada pena yang ditulis. Tanpa ada rasa untuk menulis. Tapi hari ini, hati tidak dapat menahan benak rasa. Rindu ku pada penulisan ini.

Setahun lama, perubahan mendadak berlaku. Perubahan emosi. Perubahan tingkah laku. Dan tahun ini, percutian di Malaysia yang melalaikan. Dan mengguris hati kedua ibu ayah. Emosi yang tidak menentu. Rasa marah yang memenuhi benak dadaku. Memuntahkan segala amarah. Ku lihat air mata mak. Ku lihat amarah ayah.

Gagalnya aku sebagai anak.

Aku menyalahkan sakitku ini. Aku menyalahkan sihir yang dilakukan kepadaku ini. Aku menyalahkan segalanya. Aku kata mak ayah tidak adil. Aku persoalkan segalanya. Aku rasa aku betul.

Sampailah beberap hari sebelum pulang, aku ditegur akan sikapku oleh seseorang. Rembesan air mata berlinangan. Empangan air mataku pecah. Dada yang terasa sesak terasa sikit sikit makin lapang.

Ini rupanya.

Sekian lama aku mengeraskan hatiku. Aku sumbatkan dadaku. Aku biarkan ianya sesak. Entah berapa lama tidak di'servis'. Dan malam itu, Allah hadiahkan seorang insan yang menegurku. Teguran yang menyentak benak dada. Esak tangis yang tidak dapat dikawal.

Datang sang ibu. Gusar melihat. Takut sakit anaknya menyerang. 


Pergilah ibu. Biarkan aku.

Malam penuh keinsafan. Aku ingin positifkan diriku. Aku ingin sentiasa tersenyum. Aku ingin buang amarah ini.

Aku ingin berubah Ya Allah. Kembali kepada diriku suatu ketika dahulu. 

*****

Sihir ini dilakukan oleh manusia bukan?

Perawat memandang kepadaku. bertanya.

Ya.

Aku menjawab.

Sihir ini boleh berlaku tak kalau tanpa izin Allah?

Aku pandang mak. Aku pandang abah. Diam.

Perawat tersenyum.



Ya. Semuanya dengan IZIN ALLAH.

Adakah perlu kita menyalahkan sihir ini yang membuatkan kita menjadi teruk begini. Pada mulanya ia, aku menyalahkannya.

Hakikatnya, jika direnung dengan hati. Kita pasti akan mendapat satu hikmah yang tersirat. Segala yang berlaku adalah dengan IZIN ALLAH. Jika Allah menghendakinya berlaku, pasti ianya berlaku. KUN FA YAKUN.

Ada hikmah disebalik sakit yang Allah beri. Adakah kau lupa, saat sakit, saat itu baru kita menangis. Memohon ampun kepada Allah. Solat hajat senantiasa. Al quran sentiasa dibaca. Hati sentiasa mengingati Allah.

Apabila sihat kita terlalu gembira. Seronok dan alpa.

Nah, inilah hikmahnya. Aku yang membebankan diri aku. Aku yang tidak mahu melawan perbuatan manusia itu. Lawanlah. Lawan dengan amalan. Lawan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Mohon kepada Allah.

Lama aku tidak menangis di hadapan-Mu Ya ALLAH.

Berilah aku kekuatan. Melayari bahtera kehidupanku dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Kuatkanlah aku dengan ujian-Mu ini. Pimpinlah daku Ya Allah. Sirami aku dengan nur Iman-Mu.

Biarlah aku lembut dan asyik dengan kecintaanku kepada-Mu. Jangan biarkan aku keras lagi. Aku tidak mahu derhaka kepada kedua ibu bapaku dalam keadaan aku mengetahui bahawa itu satu dosa.

Jangan biarkan aku lepaskan amarah kepada insan insan yang aku sayangi. Positifkan diri aku Ya Allah. Jauhkan sifat negatif dariku Ya Allah...

Sedarkan aku ketika alpa. Sejukkan aku ketika amarah. Damaikan hatiku ketika kesedihan Ya Allah..

Amin Ya Rabbal 'Alamin..

26/9/2014
9.02 pm
Irbid, Jordan